Sebab dua kali umat-Ku berbuat jahat: mereka meninggalkan Aku, sumber air yang hidup, untuk menggali kolam bagi mereka sendiri, yakni kolam yang bocor, yang tidak dapat menahan air. (Yeremia 2:13)

Ketika keluarga kami meneruskan perjalanan ke Murug Turug, salah satu air terjun yang sangat terpelihara di Pantai Barat Sabah, seperti pejalan kaki lain yang baik, kami bersiap dengan peralatan yang betul dan botol air. Air dalam botol mula habis semasa perjalanan. Kita perlu menjimat penggunaan air kita. Orang yang menjadi penunjuk jalan kami memberi jaminan bahawa air yang mengalir dari mata air di pergunungan itu bersih dan selamat untuk diminum. Kemudian saya sedar mengapa dia berjalan tanpa mengangkat sebarang yang berat. Kerana dia tahu ada banyak bekalan air dari mata air, maka dia tidak perlu membawa botol air yang berat!

Ketika kita berhadapan dengan kekurangan sumber daya atau pilihan dalam hidup, naluri di dalam diri kita akan berusaha untuk mengisi kekurangan itu. Umat Tuhan Israel kadang-kala berhadapan dengan kekurangan seperti itu. Tuhan telah sering kali memperlihatkan kesetiaan, rahmat dan belas kasihan-Nya kepada mereka untuk menunjukkan kepada mereka bahawa Dialah sumber kepada semua sumber daya mereka. Namun, ketika berada dalam keadaan yang mencemaskan, Israel berpaling kepada kebijaksanaan manusia dan ada kalanya kepada tuhan-tuhan lain yang sebenarnya bukan Tuhan, untuk mencari apa yang mereka perlukan. Tuhan membandingkan kedua-duanya seperti "sumber air hidup" dan "kolam yang bocor yang tidak dapat menahan air".

Yesus dalam bicaranya dengan wanita Samaria di sumur itu, mengatakan bahawa Dia akan memberi kita air hidup untuk diminum. Dan Yesus terus menggambarkan air hidup ini: "Barangsiapa minum air ini, ia akan haus lagi, tetapi barangsiapa minum air yang akan Kuberikan kepadanya, ia tidak akan haus untuk selama-lamanya. Sebaliknya air yang akan Kuberikan kepadanya, akan menjadi mata air di dalam dirinya, yang terus-menerus memancar sampai kepada hidup yang kekal." (Yohanes 4: 13b-14). Setelah kita minum air hidup ini, ia akan menghidupkan dan memberikan kita sumber daya. Air sendiri bukanlah bekalan kepada sumber-sumber yang kita perlukan dalam kehidupan. Tetapi air melahirkan kehidupan. Air hidup melahirkan kehidupan yang kekal. Yesus hidup dan Dia hidup selama-lamanya, setelah kita menjadikan Dia sebagai sumber kita, Dia akan menjadi sumber yang kekal untuk semua yang kita perlukan dalam hidup - mata air yang hidup!

Untuk perjalanan ke hadapan anda dalam hidup, lihatlah Yesus sebagai mata air yang anda boleh minum. Berjalan dengan Dia, berjalan ke mana Dia menuntun anda. Anda pasti akan dapati perjalanan itu ringan, tanpa beban dan tanpa kebimbangan yang membebankan. Bila air hidup ini ada di dalam diri anda, ia akan menjadi sumber air hidup yang mengalir keluar dari anda, dan memberkati ramai orang.

Fokus Doa:

  1. Mengakui segala keperluan dan kelemahan anda kepada Tuhan. Mintalah istirahat-Nya, kesembuhan-Nya dan kekuatan-Nya.
  2. Berdoa untuk mereka yang memerlukan istirahat (termasuk diri anda), dan untuk mereka yang memerlukan keselamatan agar mereka menerima Air Hidup yang hanya boleh diberikan oleh Yesus.