Situasi terkini yang berlaku di Palestin amat membimbangkan apabila rakyat Gaza dihalang untuk mendapatkan rawatan kesihatan di luar, dipotong bekalan eletrik dengan menghalang kemasukan bahan bakar, dihentikan bantuan dan elaun sara hidup untuk keluarga miskin, bekas tahanan Israel dan keluarga syuhada.
Rakyat Gaza menderita tekanan hidup dan ekonomi sehingga membawa kes kematian akibat halangan keluar untuk mendapatkan rawatan dan eletrik pula hanya dibekalkan selama 4 jam setiap hari.
Keadaan ini mendesak HAMAS dan FATAH memeterai perjanjian damai dengan kehadiran pegawai perisik Mesir.
Perjanjian damai telah ditandatangani oleh Timbalan Ketua HAMAS yang baharu, Salah al-Arouri dan Ketua Delegasi FATAH, Azzam al-Ahmad. Lanjutan daripada itu, kedua-dua pihak akan menyerahkan tanggungjawab bagi lintasan sempadan Rafah di Gaza dan kawalan pentadbiran Gaza kepada kerajaan perpaduan selewat-lewatnya 1 Disember ini.
PAS berpendirian bahawa perjanjian kerjasama yang dilakukan adalah semata-mata di atas kepentingan rakyat Palestin khasnya di Gaza, mengatasi kepentingan lain.
Dalam perbualan telefon sewaktu saya dihubungi oleh Syeikh Ismail Haniyyeh, Ketua Biro Politik HAMAS, beliau menyatakan bahawa HAMAS tidak akan keluar daripada prinsip perjuangan Islam dan jihad membebaskan Palestin.
Kami sentiasa mendoakan kepada Allah supaya pimpinan HAMAS tetap berada di atas jalan istiqamah menegakkan Islam. Kami memahami keadaan darurat yang menimpa mereka sekarang tetapi darurat itu hendaklah diambil dengan sekadarnya sahaja.
Kami mengulangi komitmen PAS dalam memperjuangkan isu Palestin sejak daripada dahulu lagi dan kami juga mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin seluruhnya.
“Sejahtera Bersama Islam
ABDUL HADI AWANGPresiden PAS
Bertarikh: 5 Safar 1439 / 26 Oktober 2017
Muamalat Politik Islam adalah berkonsepkan kepimpinan Islam yang wajib dipertahankan, demi menegakkan konsep rahmat kepada seluruh alam dan adil terhadap semua. Maka lebuhraya hubungan dengan semua pihak sangat luas. Namun politik damai hendaklah diutamakan.
PAS tidak hanyut dan dihanyutkan sekali-kali Insya Allah oleh sesiapa sahaja yang mahu memaksa, menipu atau melakukan provokasi untuk mengheret PAS sehingga terkeluar daripada landasan prinsip, konsep Islam dan strategi kebijaksanaan dalam perjalanannya.
Majlis Syura Ulama, Dewan Harian, AJK PAS Pusat menentukan keputusan secara jama’ie (kolektif) dan Muktamar yang melibatkan akar umbi bagi membuat keputusan yang besar, supaya PAS bukan parti milik seorang atau kumpulan tertentu sehingga terkeluar daripada konsep dan adab berjemaah.
PAS berpengalaman secara bersendirian, kerajaan campuran dan bekerjasama dengan semua pihak dengan berbagai pendekatan, bukan sekadar satu, dua, tiga dan empat pendekatan, bahkan lebih daripadanya.